CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Tuesday, September 21, 2010

Kasih Seorang Ibu


Kau telah merasa bahagia sejak anakmu masih belum lagi terbentuk didalam rahimmu. Senyumanmu dikala kau mendengar degupan jantung anakmu jelas menunjukkan kasihmu yang tidak berbatas. Sembilan bulan penuh keazaban, namun kau harungi dengan hati yang tabah, dan kau litupi kesakitanmu dengan senyuman penuh kebahagiaan. Akhirnya, saat yang dinanti tiba jua. Kau bertarung dengan maut, dengan sakit dan azab yang hampir meragut nyawamu, hanya untuk memastikan nyawa anakmu selamat tiba ke dunia. Dan disaat kau terdengar teriakan tangisan anakmu, airmatamu mengalir deras, hiba…dan bahagia mendengar anugerah Allah paling bermakna buatmu.

Masa berlalu pergi. Setiap saat dan waktu, kau tatang anakmu dengan belaian manja. Saat anakmu merangkak, saat anakmu bertatih berjalan, kau pasti tersenyum gembira. Segalanya indah di matamu. Saat anakmu terjatuh dan menangis, kau dakap dan kau peluk erat. Galakanmu memberi anakmu kekuatan, dari merangkak, berjalan dan kemudian terus berlari…Biar anakmu menangis di subuh hari, kau tetap bangun melafazkan kata-kata sayang, dan tidak pernah pula kau putus asa melayan karenah anakmu. Kesucian hatimu dan limpahan kasihmu mengukir darjatmu yang tinggi disisi Tuhanmu… Ya, Allah SWT sendiri mengangkatmu tinggi disisiNya… Allah SWT juga begitu menghargai limpahan kasihmu…

Saban tahun silih berganti, anakmu meningkat dewasa. Kini anakmu sudah berjaya, mengukir nama dipersada dunia. Kau masih lagi bangga dengan anakmu, namun dia tidak lagi memerlukanmu. Kau hanya orang tua yang nyanyuk di matanya. Kau hanya menyusahkan, kotor dan jijik. Langsung, kau dicampak ke sana-ke mari, seorang demi seorang anakmu menolak kehadiranmu, bagaikan kehadiranmu mengganggu kemewahan hidup mereka. Nah, akhirnya sepakat kau dicampak pula ke rumah orang tua-tua. Seminggu sekali, anak-anakmu datang menjengukmu, namun semakin lama, semakin hambar… Kelak, bayang anakmu langsung tidak kelihatan. Kau, tetap pasrah, masih tersenyum kerna anakmu kesemuanya orang berjaya. Kau tetap bangga, walau kau tidak lagi menjadi kebanggaan mereka.

Saat Malaikat Maut datang memanggilmu, tanganmu menggenggam erat gambar anak-anakmu… Disaat nyawamu bakal meninggalkan tubuh tuamu, air matamu menitis, mengenangkan nasib anak-anakmu di dunia, kerisauanmu bukan pada saat pertemuanmu dengan Penciptamu, namun pada anak-anakmu yang nyata telah lupa padamu.. Begitulah dalamnya kasih seorang ibu…

Pesananku buat para pemimpin

Kau ingin memimpin, namun sediakah engkau untuk memimpin? Adakah kau ikhlas untuk memimpin atau kau hanya tertarik dengan godaan wang ringgit dan tarikan duniawi? Jika kau ingin memimpin, sudahkah kau bermuhasabah menilai dirimu? Tatkala Saidina Umar Al-Khattab r.a. diminta menjadi khalifah, beliau tertunduk sedih. Para sahabat lalu bertanya,”mengapa Wahai Umar, mengapa kau bersedih?” Umar r.a lalu menjawab, “aku bersedih, kerna pabila aku menjadi pemimpin, itu bermakna aku menjadi hamba kepada pengikutku”. Betapa beratnya tanggungan seorang pemimpin, namun kini setiap kamu bagai merebut ingin ditabal paling atas antara diatas. Hamba rakyat paling tinggi antara yang tertinggi. Tidakkah kau takut azab yang menantimu di padang Mahsyar jika kau terlupa tanggungjawabmu? Jika kau terlupa untuk berlaku adil kepada rakyatmu? Sekelumit harta rakyat yang kau telan, nescaya akan disoal diakhirat kelak. Tidak takutkah kau jika kau terlupa dan alpa dalam memegang jawatanmu?
 Ya, itu semua masih belum pasti, yang penting, kehidupanmu di dunia terjamin. Sedikit dari puluhan billion duit rakyat pasti tidak akan menyakiti sesiapa. PASTIKAH kau? Pastikah kau bahawa yang sedikit itu bukan hak seorang yatim piatu? Atau seorang fakir miskin yang cacat tubuh badannya? Atau seorang ibu tunggal yang risau akan anak-anaknya yang kelaparan? Jika kau ditakdirkan Allah SWT boleh melihat malaikat kiri dan kananmu menulis segala tindak-tandukmu, nescaya kau tidak akan KORUP! Nescaya kau tidak mungkin berani merebut jawatan tertinggi…bahkan kau lebih rela menjadi insan biasa dari terus menambah berat di bahu kirimu.
Kau ingin memimpin? Pimpinlah dirimu terlebih dahulu. Baikilah akhlakmu, mantapkanlah imanmu. Kemudian pimpinlah keluargamu ke jalan Allah SWT. Pastikan anakmu mengenal Islam, mengerti siapa Tuhannya, dan siapa Rasulnya. Pastikan isterimu menjadi isteri solehah, isteri yang bakal mengangkatmu jauh lebih tinggi. Bagai Siti Khadijah a.s. kepada Rasulullah S.A.W…  Jika benar dirimu seorang pemimpin, tegakkanlah kebenaran (Ma’aruf) dan basmilah kemungkaran (Mungkar). Dunia hanya sementara, kuatkanlah jiwamu dengan keimanan, nescaya kau akan dapat menghindari segala godaan dan tarikan duniawi…  Ingat, balasan Allah SWT di padang Mahsyar adalah muktamad.

Hikmah Ilahi di Sebalik Poligami

Tatkala suamimu berkata kepadamu, “Wahai isteriku, izinkan aku beristeri lagi”, dan kamu tunduk menangisi nasibmu… Jangan kamu bersedih wahai Muslimah sejati. Ketahuilah, di sebalik poligami itu, terselindung suatu hikmah buatmu dan suamimu. Kesatlah airmatamu, kerna kasih Allah SWT senantiasa berada bersamamu. 

Dikala suamimu tiada disisimu pergi menemani madumu, bentangkanlah sejadahmu, dan sujudlah kepada Allah SWT. Kerna tanpa suamimu, hilanglah sebentar beban dari bahumu, dan gunakanlah waktu itu untuk mencari keredhaan dari Allah SWT. Rapatkanlah dirimu dengan Penciptamu, sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ketahuilah jua, saat ini, tika jiwamu bergelora menahan duka, Allah SWT senantiasa berada di sampingmu, tanpa mengira masa dan ketika. 

Manusia boleh datang dan pergi, namun Allah SWT senantiasa disisi. Kasih Manusia boleh datang dan pergi, namun Kasih Allah SWT kekal ke akhirnya. Tika hatimu dirundung duka, tika jiwamu mulai kecewa, jinak-jinakkanlah hatimu dengan sabar dan manjakanlah bibirmu dengan zikrullah. Insya-Allah, jiwamu bakal bertemu cinta sejati, cinta yang tidak mungkin akan luntur hingga ke ahir zaman… Cinta kepada Allahu Rabbi…

Kepadamu wahai Muslimin, ketahuilah poligami bukan kerna hanya tuntutan nafsu semata. Salah langkahmu, balasan neraka menanti. Jika betul langkahmu, syurga abadi bakal menanti. Adil bukan hanya di bibir, bukan hanya di lakumu. Adakah kamu berkemampuan untuk berlaku adil? Dapatkah engkau membahagiakan yang pertama tanpa menyakiti yang kedua? Jika wujud ragu-ragu dihatimu, USAH! Lupakan niatmu dan kembali ke pangkuan isterimu. Kerna disitu letaknya syurgamu. Didiklah anakmu dan isterimu mengenal cinta Allah SWT, kelak nanti menjadi sinar buatmu di syurga nanti.