Tuesday, September 21, 2010
Pesananku buat para pemimpin
Kau ingin memimpin, namun sediakah engkau untuk memimpin? Adakah kau ikhlas untuk memimpin atau kau hanya tertarik dengan godaan wang ringgit dan tarikan duniawi? Jika kau ingin memimpin, sudahkah kau bermuhasabah menilai dirimu? Tatkala Saidina Umar Al-Khattab r.a. diminta menjadi khalifah, beliau tertunduk sedih. Para sahabat lalu bertanya,”mengapa Wahai Umar, mengapa kau bersedih?” Umar r.a lalu menjawab, “aku bersedih, kerna pabila aku menjadi pemimpin, itu bermakna aku menjadi hamba kepada pengikutku”. Betapa beratnya tanggungan seorang pemimpin, namun kini setiap kamu bagai merebut ingin ditabal paling atas antara diatas. Hamba rakyat paling tinggi antara yang tertinggi. Tidakkah kau takut azab yang menantimu di padang Mahsyar jika kau terlupa tanggungjawabmu? Jika kau terlupa untuk berlaku adil kepada rakyatmu? Sekelumit harta rakyat yang kau telan, nescaya akan disoal diakhirat kelak. Tidak takutkah kau jika kau terlupa dan alpa dalam memegang jawatanmu?
Ya, itu semua masih belum pasti, yang penting, kehidupanmu di dunia terjamin. Sedikit dari puluhan billion duit rakyat pasti tidak akan menyakiti sesiapa. PASTIKAH kau? Pastikah kau bahawa yang sedikit itu bukan hak seorang yatim piatu? Atau seorang fakir miskin yang cacat tubuh badannya? Atau seorang ibu tunggal yang risau akan anak-anaknya yang kelaparan? Jika kau ditakdirkan Allah SWT boleh melihat malaikat kiri dan kananmu menulis segala tindak-tandukmu, nescaya kau tidak akan KORUP! Nescaya kau tidak mungkin berani merebut jawatan tertinggi…bahkan kau lebih rela menjadi insan biasa dari terus menambah berat di bahu kirimu.
Kau ingin memimpin? Pimpinlah dirimu terlebih dahulu. Baikilah akhlakmu, mantapkanlah imanmu. Kemudian pimpinlah keluargamu ke jalan Allah SWT. Pastikan anakmu mengenal Islam, mengerti siapa Tuhannya, dan siapa Rasulnya. Pastikan isterimu menjadi isteri solehah, isteri yang bakal mengangkatmu jauh lebih tinggi. Bagai Siti Khadijah a.s. kepada Rasulullah S.A.W… Jika benar dirimu seorang pemimpin, tegakkanlah kebenaran (Ma’aruf) dan basmilah kemungkaran (Mungkar). Dunia hanya sementara, kuatkanlah jiwamu dengan keimanan, nescaya kau akan dapat menghindari segala godaan dan tarikan duniawi… Ingat, balasan Allah SWT di padang Mahsyar adalah muktamad.
The wandering thoughts of Mohd Izhar Md Hasan at 12:57 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 Fire in the Hole:
Post a Comment